Saidina Hasan Cucu Rasulullah

Sesungguhnya kehidupan dan kematiannya merupakan gambaran yang indah dari insan yang mulia, penuh pengorbanan, iffah, suci, jiwa yang tenteram dan bersih. Patut baginya memperoleh kedudukan yang tinggi di dunia dan di akhirat, kerana dia adalah cucu Rasulullah SAW putera Saidina Ali ra. dan Fatimah Az-Zahrah, serta saudara kandung Husein, penghulu para syuhada. Layak pula baginya memperolehi tempat yang mulia di antara orang-orang soleh, kerana beliau meninggalkan jabatan khalifah dengan cara bermandikan darah para syuhada. Beliau mengutamakan meninggikan bendera Islam sebagai ganti mengumandangkan teriakan perang. Hatinya memancarkan rahmat, kasih sayang, kalbunya diliputi dengan perasaan kasih, dan jiwanya penuh dengan sifat keutamaan.

Bekas ciuman Nabi bau semerbak dari bibirnya. Baginda SAW mencintai Hasan dan saudaranya Husein, sehingga menjadikan kehidupan keduanya bagai kehidupan para malaikat. Keduanya hidup dalam naungan Ilahi. Pada masa kanak-kanaknya yang suci, mereka diberi ucapan-ucapan wahyu di lingkungan kenabian. Rasulullah SAW memberinya pelajaran dan cara hidup Islam serta pendidikan Ilahi. Dari lingkungan kedua orang tuanya, mereka mengambil suri teladan yang mulia. Dalam lingkungan yang jelas dan positif itulah Saidina Hasan dan Saidina Husein hidup berdampingan satu sama lain.

Hampir tiada berlalu suatu haripun tanpa baginda SAW mengungkapkan kepada para sahabatnya tentang cintanya kepada cucu-cucunya. Badan Saidina Hasan banyak kemiripannya dengan bentuk badan Rasulullah. Diriwayatkan bahawa suatu hari Abu Bakar dan Ali sedang keluar dari masjid selesai solat. Tiba-tiba mereka berdua melihat Hasan ra. sedang bermain. Lalu Abu Bakar ikut mengajaknya bermain. Setelah itu beliau berkata kepada Ali ra.: “Demi Allah, dia lebih mirip dengan Nabi SAW daripada denganmu.” Mendengar yang demikian itu Saidina Ali ra. tertawa.

Tentang kecintaan Nabi SAW kepada Saidina Hasan dan Saidina Husein, Abu Hurairah ra. pernah berkata: “Rasulullah SAW datang kepada kami bersama kedua cucunya, Hasan dan Husein. Yang pertama ada di bahunya yang satu, dan yang kedua ada di bahunya yang lain. Sesekali baginda SAW menciumnya, sampai baginda berhenti di tempat kami. Kemudian baginda bersabda: “Barangsiapa mencintai keduanya (Hasan dan Husein) bererti ia mencintai aku. Barangsiapa membenci keduanya bererti ia membenci aku.” Hadith-hadith yang berhubungan dengan kecintaan baginda SAW terhadap Saidina Hasan dan Saidina Husein banyak disebut dalam sejarah Nabi SAW.

Berkaitan dengan Saidina Hasan, Nabi SAW memberitahukan bahawa ia akan mendamaikan antara dua golongan kaum muslimin. Beberapa tahun setelah itu ramalan tersebut betul-betul terjadi. Peristiwa itu terjadi setelah wafatnya Rasulullah SAW dan setelah Saidina Ali ra. meninggal dunia. Saat itu penduduk Irak datang untuk membaiat Saidina Hasan. Mereka percaya bahawa Saidina Hasanlah yang paling berhak menduduki jabatan khalifah.

Pada waktu yang bersamaan penduduk Syam membaiat Muawiyah, sehingga pertempuran baru antara Irak dan Syam tidak dapat dihindari lagi. Di sinilah nampak kecerdasan Saidina Hasan. Beliau berfikir, terbayang dalam benaknya apa yang pernah terjadi dalam perang Shiffin. Di situ ia melihat ramainya korban yang terbunuh dan darah yang mengalir, mengakibatkan anak menjadi yatim dan perempuan menjadi janda. Apa yang dihasilkan oleh perang hanyalah kebinasaan dan kerosakan. Beliau khuatir terulangnya kembali peristiwa peperangan dan pertumpahan darah antara sesama kaum muslimin.
Ketika ia sedang mencari jalan penyelesaian dari terjadinya pertumpahan darah tersebut, tiba-tiba datang surat dari Muawiyah kepadanya. Di dalamnya tersirat politik Bani Umaiyah untuk mengadakan perdamaian dengan syarat Saidina Hasan dijanjikan akan menjadi khalifah nanti setelah kematian Muawiyah.

Setelah Saidina Hasan selesai membaca surat tersebut, serta merta ia mengutus utusan untuk menemui saudaranya Husein di Madinah. Ia menganjurkannya menerima usul perdamaian tersebut. Demikian pula sikapnya saat para pemuka penduduk Irak berkumpul di gedung pertemuan di Irak. Beliau berkata kepada mereka: “Sesungguhnya kalian membaiatku adalah untuk berdamai dengan orang yang mengajak damai dan berperang dengan orang yang mengajak perang. Sesungguhnya aku telah membaiat Muawiyah, maka dengarlah kata-kataku.”

Peristiwa ini diterima oleh penduduk Iraq secara terpaksa. Begitu pula halnya dengan Saidina Husein, beliau menerimanya secara terpaksa pula. Pada dasarnya semuanya menghendaki agar jabatan khalifah dipegang oleh keluarga Nabi, bukan didahului oleh Bani Umaiyah. Akan tetapi cara berfikir Saidina Hasan menuju kepada mencegah pertumpahan darah di kalangan kaum muslimin. Cukuplah bagi beliau apa yang pernah terjadi dalam perang Shiffin. Akan tetapi Muawiyah tidak ingin menepati janjinya. Ia telah menetapkan perintah membaiat anaknya, Yazid. Politiknya adalah jangka panjang, meskipun pada mulanya keinginannya belum tercapai, namun ia menjadikan strateginya itu secara bertahap.

Akibatnya setiap sahabat Rasulullah SAW yang mendengar maksud Muawiyah tersebut bukan main marahnya. Sebab jabatan khalifah akan dipegang oleh penguasa yang bengis, sebagaimana yang pernah diberitakan oleh Rasulullah SAW.

Namun meskipun Saidina Hasan menjaga jangan sampai terjadi pertumpahan darah di kalangan kaum muslimin. Tapi tetap saja perkara-perkara lain muncul di hadapannya. Pada akhirnya berkali-kali beliau menghadapi usaha orang lain yang hendak meracuninya, tapi masih boleh diubati. Orang-orang tersebut tidak puas jika belum berhasil dalam usahanya. Hingga suatu ketika Saidina Hasan merasakan adanya racun pahit yang ada dalam makanannya. Rasanya seperti ditikam pisau dalam perutnya. Dengan menahan rasa sakit yang keras itu, beliau bertanya kepada saudaranya Saidina Husein: “Siapa yang menyembunyikan racun tersebut?” Saidina Husein tidak boleh menjawab, dan tidak lama kemudian beliau pun wafat.

Peristiwa itu terjadi pada tahun 50 H menurut pendapat yang paling kuat, dan seluruh penduduk Madinah ikut berkabung, menguburkan jasadnya yang suci di Baqi’. Dikhabarkan di tempat itu tersebar bau harum sewangi kasturi, seolah-olah para malaikat menaburkan wewangian syurga di dalamnya.

Semoga Allah memberi rahmat kepada Saidina Hasan dan Saidina Husein. Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda tentang mereka berdua: “Mereka berdua termasuk pemuka para pemuda ahli syurga.”

Berikan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s